Pages

Khamis, Ogos 25, 2011

Budaya Beraya

Salam budaya, Salam 1 Malaysia.

Sememangnya Malaysia kaya dengan pelbagai budaya yang menjadi amalan didalam negara ini. Di penghujung Ramadhan ini antara satu budaya orang melayu adalah menyambut MALAM 7 LIKUR.

Kalau dulu-dulu masa saya masih kecil, memang saya tak faham lansung apa dia malam 7 likur, yang saya tau, minggu terakhir Ramadhan kita akan pasang pelita. Semua orang pasang pelita, ada pelita buluh dan pelita tin. Dulu-dulu, pelita tin kita buat sendiri, dari cari tin.. macam-macam jenis tin boleh di guna, buat lubang sumbu, sumbu pun ada yang buat pakai kain.. pintal-pintal kan ajer kain tu, asal keluar kat lubang sumbu. Apa yang seronok, kerja ini dibuat bersama kawan-kawan, ianya secara tidak lansung mengeratkan hubungan, silaturahim, persahabatan dan semangat bekerja sama. 

Cuba kita lihat hari ini, malam 7 likur hilang serinya, pelita dibeli dipasaraya, itupun sebab kita teringat zaman kanak-kanak kita ada pelita. Walaupun sebenarnya malam 7 likur ini adalah Malam 7 hari terakhir Ramadhan atau Malam Lailatul Qadar, tetapi didalam dunia kanak-kanak atau remaja, mungkin fokus ibadah itu kurang, namun aktiviti budaya memasang pelita ini harus kita kekalkan dan terus menjadi budaya kita, sekurang-kurangnya ianya mengingatkan kepada yang tua bahawa, cahaya pelita yang dipasang adalah tanda Malam Lailatul Qadar telah tiba, bagi yang muda ia adalah aktiviti sihat yang membentuk sahsiah, persahabatan, kerjasama, bukannya dengan hanya mengadap permainan komputer.

Oleh itu, setiap NGO haruslah cuba menghidupkan semula budaya ini, malah tidak salah kiranya pihak masjid juga mengadakan aktiviti menyalakan pelita dengan mengajak kariah terutama golongan muda, dengan mengadakan aktiviti membuat dan memasang pelita di masjid, selain dari itu nyalaan pelita yang memenuhi laman masjid akan dapat memberi-tahu kepada kariah lain bahawa kita sedang berada di malam lailatul-qadar. Ia adalah aktiviti sihat yang boleh dijadi aktiviti dimana-mana sahaja, disamping mengekal budaya bangsa yang semakin hilang di telan zaman.

Disini saya dan seluruh kepimpinan Pertubuhan Seni Genderang Nusantara Malaysia mengucapkan Selamat Mencari Malam Lailatul Qadar dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan kita sambut dalam masa lebih kurang seminggu lagi. Kekalkan tradisi kunjung-mengunjung serta maaf-bermaafan, kalau nak datang rumah tu... roger2 lah dulu. InsyaAllah... raya pertama & kedua ada di rumah.