Pages

Rabu, Ogos 31, 2011

Merdeka tanpa Dadah

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua kepimpinan dan ahli Rakan Antidadah(RADA) di seluruh negara, khususnya RADA Selangor dan Hulu Selangor.

Tahun ini kita bertuah kerana kita dapat menyambut Aidlfitri dan Ulangtahun Hari Kemerdekaan Negara serentak, sekaligus memberi pengertian yang besar dalam perjuangan diri kita dalam memerdekakan diri dari godaan nafsu sepanjang bulan puasa yang lalu. Didalam bulan kita menyambut Aidilfitri ini, kita juga akan menyambut Hari Malaysia, yang akan disambut pada 16 September nanti, dimana kita dapat mengenang kembali bagaimana sukarnya pejuang-pejuang kemerdekaan kita berusaha mendapatkan kemerdekaan dan menjadikan pembentukan Malaysia sebagai satu kenyataan.

Hari ini sebagai anak merdeka, kitalah yang harus memainkan peranan dalam mengisi kemerdekaan. Kemerdekaan tidak akan bermakna jika ekonomi kita masih dijajah, kemerdekaan tidak akan bermakna jika politik kita masih bertelagah, kemerdekaan tidak akan bermakna jika generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara adalah generasi rebah yang rosak dengan penagihan dadah. Jika satu ketika dulu, komunis adalah musuh no.1 negara, tetapi kini di zaman selepas merdeka, dadah pula menjadi musuh no.1 negara.

Pelbagai dadah jenis baru wujud hari ini, dengan pelbagai nama, bentuk, kaedah pengedaran dan individu yang terlibat didalam penagihannya. Ianya menjadi cabaran untuk kita selaku sukarelawan RADA dalam menyalurkan maklumat dan membantu AADK didalam memerangi gejala ini. Usaha hendaklah dimulakan dari keluarga kita, saudara-mara, rakan-rakan, jiran dan sesiapa yang kita kenali, terutama warga Malaysia, agar sasaran menjadikan Malaysia Bebas Dadah menjelang 2015 tercapai.

Erti kemerdekaan hendaklah dilihat oleh ahli RADA sebagai satu 'perjuangan yang belum selesai'. Kita seharusnya berbangga kerana kita adalah sebahagian dari pejuang-pejuang MERDEKA yang berjuang memerdekakan negara dari acaman musuh no.1 negara ini. Saya mendoakan agar segala usaha, perancangan serta tindakan kita akan berjaya mencapai matlamat yang kita hajati dengan izin Allah, InsyaAllah.